[Video] Tak puas hati ditegur punca kemalangan, suspek direman hari ini

791

Gara-gara tidak puas hati ditegur menyebabkan seorang lelaki bertindak menyerang orang awam yang membantu mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Raja Musa Aziz, Ipoh, petang kelmarin.

Video yang tular menerusi aplikasi Whatsapp itu menunjukkan dua orang lelaki bergaduh dalam satu kemalangan pada kira-kira jam 6.07 petang. 



Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata kejadian itu melibatkan kemalangan antara Honda City dan Toyota Camry.

“Pemandu Honda City yang merupakan lelaki warga tempatan melanggar Camry yang dipandu seorang wanita berumur 52 tahun.

“Punca kejadian dipercayai akibat daripada pemandu City yang memandu di laluan bertentangan,” katanya.

Orang awam yang menyaksikan kejadian tampil memberi bantuan kepada mangsa namun pemandu Honda City tidak berpuas hati dengan teguran orang awam yang menyebabkan kemalangan.

“Kemudian dia menyerang salah seorang daripada orang awam yang hadir di lokasi kejadian dan pihak polis menerima laporan berkaitan pergaduhan tersebut dan satu laporan kemalangan jalan raya daripada pemandu yang terlibat,” jelasnya. 

Polis berjaya membuat tangkapan suspek pemandu Honda City berumur 47 tahun semalam pada jam 12.10 tengah hari.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk permohonan reman dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here