Jualan Perodua lepasi 200,000 unit, Bezza model terlaris bulan Oktober

662

Perodua melepasi jualan 200,000 unit kenderaan baru-baru ini apabila merekodkan pendaftaran 222,203 unit kereta antara Januari dan Oktober tahun ini.

Pendaftaran kenderaan Perodua melonjak 51.2 peratus daripada jualan 146,951 dalam tempoh yang sama pada 2021.



“Terdapat jurang pada jualan antara Jun dan Ogos tahun lalu susulan penutupan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi membendung kes Covid-19.

“Kami menjangkakan momentum pendaftaran akan terus meningkat sehingga akhir tahun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad.

Bagi Oktober 2022, Perodua menjual 25,849 unit iaitu peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding 24,626 unit yang dijual pada September 2022.

Tiga model kereta yang merekodkan jualan tertinggi pada bulan Oktober ialah Bezza dengan 6,768 unit diikuti Myvi (6,130 unit) dan Axia (4,989 unit).

Dari segi pengeluaran, Perodua menghasilkan 22,974 unit pada Oktober menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dikeluarkan adalah sebanyak 229,811 unit antara Januari dan Oktober tahun ini.

“Kami merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan jumlah jualan kami kerana kami cuba melepasi sasaran jualan yang ditetapkan sebelum ini bagi tahun 2022 dan ini akan dapat mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami,” tambahnya.

Pada Januari lalu, pembuat kereta kompak nasional mengumumkan sasaran pendaftaran sebanyak 247,800 unit untuk 2022.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here