Pusing-pusing tak jumpa parkir

998

Majoriti orang ramai yang mempunyai urusan di Hospital Serdang, perlu menapak jauh dari jalan besar disebabkan parkir awam yang disediakan dalam kawasan hospital tidak mencukupi.

Tinjauan Harian Metro mendapati deretan kenderaan diparkir di kedua-dua arah Jalan Hospital Serdang hingga sejauh lebih 1km.



Walaupun berdepan disaman pihak berkuasa, mereka tiada pilihan lain kecuali meletak kenderaan di bahu jalan bagi mengelak terlepas janji temu dengan doktor.

Pengunjung, Abdullah Mad Ali, 55, berkata, walaupun tiba di kawasan hospital jam 7 pagi namun parkir di dalam kawasan Hospital Serdang sudah penuh.

“Tiga kali saya pusing, tunggu orang keluar dari parkir di tepi jalan ini. Memang dah tak mengharapkan parkir dalam kawasan hospital.

“Saya datang jam 7 pagi, parkir dalam kawasan hospital sudah penuh, dapat parking di tepi jalan pun sekitar 8.15 pagi selepas melilau mencari kawasan kosong.

“Saya hantar isteri (Dayang Emas Noho, 53,) yang ada janji temu jumpa doktor, kalau datang sini mesti kena berdua, jika seorang diri mungkin tak sempat jumpa doktor sebab jenuh mencari kawasan kosong untuk meletakkan kenderaan,” katanya. 

Menurutnya, walaupun pernah disaman kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan besar namun dia dan pengunjung lain tiada pilihan.

“Keadaan lebih azab apabila operasi parkir alternatif di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) sudah ditamatkan.

“Walaupun kawasan itu berbayar namun ada kenderaan perantara disediakan antara Maeps dan hospital yang memudahkan pengunjung,” katanya. 

Bagi pemandu lori, Ahmad Firdaus Sulaiman, 36, keperluan pihak berwajib untuk menyediakan kawasan parkir mencukupi adalah sangat mendesak.

Ini kerana, katanya, rata-rata pengunjung adalah membabitkan pesakit atau waris yang menghantar pesakit yang mempunyai temujanji dengan doktor.

Menurutnya, dia bersama isterinya Siti Nasihah Asmat, 31, membawa bayi istimewa mereka Muhammad Al-Fateh berusia satu bulan yang menghidap Sindrom Down untuk pemeriksaan jantung.

“Pembinaan parkir bertingkat adalah langkah terbaik berbanding kawasan terbuka kerana tidak mampu menampung kepadatan kehadiran pengunjung ke hospital.

“Saya datang jam 6.30 pagi, tetapi parkir awam dah penuh. Jadi terpaksalah parkir di luar dan berjalan lebih 300 meter dalam cuaca hujan renyai supaya tak terlepas janji temu,” katanya yang tinggal di Bukit Sentosa, Rawang.

KJ TEGUR MASALAH PARKIR

Tinjauan juga mendapati papan tanda ‘Awas Pencuri Kereta’ turut dipaparkan di persimpangan lampu isyarat laluan masuk ke Hospital Serdang.

Selain itu turut kelihatan papan tanda tertera ‘Dilarang Meletakkan Kenderaan Di Sini’ di Jalan Hospital Serdang yang terpaksa diabaikan pengunjung kerana tidak mempunyai pilihan lain.

Isu parkir di Hospital Serdang pernah dibangkitkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mengakui terkejut apabila melihat banyak kereta terpaksa diletakkan di tepi jalan ketika hadir untuk melancarkan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan, Mac lalu.

Khairy dilaporkan berkata, beliau memberi jaminan akan menyelesaikan masalah tempat letak kereta yang semakin meruncing di Hospital Serdang.

“Saya pun terkejut banyak kereta terpaksa diletakkan di tepi jalan di Serdang ini. Memang masalah tempat letak kereta di beberapa hospital dalam negara antara aduan banyak diterima sejak saya dilantik menjadi Menteri Kesihatan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here