Kereta berlanggar, mangsa putus jari ditetak pedang samurai

563

Hanya kerana perlanggaran kecil, seorang lelaki menjadi mangsa tetakan sehingga mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki kiri di Kampung Gong Cempedak, Marang, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 8 malam itu, mangsa berusia 38 tahun putus satu jari kiri nekad memandu kereta seorang diri sejauh lebih 20km ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.



Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, suspek berusia 33 tahun bertindak melarikan diri dengan merempuh sebuah sekatan jalan raya (SJR) di Merchang sebelum berjaya diberkas polis pada jam 8.45 malam.

Beliau berkata, siasatan awalnya, kejadian bermula apabila kenderaan dipandu suspek dan mangsa mengalami kemalangan kecil.

“Suspek pada mulanya bersetuju untuk membayar ganti rugi dan mengajak mangsa ke rumahnya.

“Sebaik tiba di rumah, suspek meminta mangsa menunggu di luar sementara dia masuk ke dalam kononnya mahu mengambil wang ganti rugi sebelum dia tiba-tiba meluru keluar dengan bersenjatakan objek tajam seperti pedang semurai untuk menyerang mangsa,” katanya..

Suspek yang bekerja sendiri kemudiannya cuba melarikan diri ke arah Dungun dengan menaiki kereta Proton Wira berwarna biru.

Mohd Zain berkata, ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphitamine dan dia ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa minggu depan.

 
 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here