Polis cari pemandu Singapura halang ambulans di Johor

746

Polis meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang didakwa tidak memberi laluan kepada ambulans, tampil menyalurkan maklumat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.



“Belum ada individu yang membuat laporan polis lagi. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh tampil supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dipercayai Mercedes A180 yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans.

Dalam video berdurasi 54 saat itu, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.37 petang kelmarin, di bandar raya ini menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Pada masa sama, Raub menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan termasuk memberi laluan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas kecemasan seperti ambulans, bomba atau polis.

Katanya, perbuatan tidak memberi laluan kepada ambulans boleh menyebabkan siasatan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here