Diserang sawan tengah tunggang motor, operator maut

602

Lelaki meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Guar Chempedak-Yan, semalam dipercayai diserang sawan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.



“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM E Bonus 110 dipercayai dari arah Yan menghala ke Guar Chempedak.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa dipercayai mengalami sawan dan hilang kawalan lalu jatuh ke kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia akibat cedera di kepala,” katanya.

Shahnaz berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dilakukan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here