Angkut mayat guna Honda Civic warna perak

3344

Polis menemui petunjuk baharu berhubung pe­nemuan mayat dalam guni dipercayai dilakukan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Honda Civic berwarna perak.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, perkembangan terbaharu itu diperoleh daripada seorang wanita yang melihat kereta tersebut di lokasi keja­dian pada jam 7 malam pada 8 ­Januari lalu.

Saksi memaklumkan dia ternampak lelaki tersebut menarik satu bungkusan berwarna putih ke tepi jalan.



“Identiti suspek masih belum dikenalpasti kerana memakai topi, manakala plat kenderaan itu turut ditanggalkan.

“Satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan pemilik kereta untuk membantu siasatan,” katanya.

Akhbar Kosmo pada 13 Januari lalu melaporkan misteri bau busuk daripada sebuah guni berwarna putih di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, yang me­rungkai kepada penemuan mayat dipercayai lelaki hampir reput pada jam 6.10 petang, 11 Januari lalu.

Identiti mangsa dikenal pasti sebagai lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingku­ngan 30-an dan bekerja di sebuah kilang berdekatan lokasi keja­dian.

“Perkara itu disahkan rakan si mati menerusi proses pengecaman selepas melihat gelang ta­ngan pada mayat tersebut.

“Mangsa dikatakan hilang sejak 8 Januari lalu dan polis telah meminta kerjasama untuk mengesan keluarganya bagi ujian asid deoksiribonukleik,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012-4071452 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di 03-32912222.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here