Utama Berita Automotif Landasan LRT bengkok: DBKL arah henti projek Menara Soho

Landasan LRT bengkok: DBKL arah henti projek Menara Soho

609
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan Arahan Memberhentikan Kerja serta-merta kepada pemilik sebuah projek di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. 
 
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata ia susulan gangguan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang yang berlaku 27 Jan lalu.
 
“Saya telah mengadakan mesyuarat pada 28 Jan 2023 bersama wakil daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana dan beberapa jabatan dalaman DBKL iaitu Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Bandaraya, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan serta Jabatan Perancangan Korporat.
 
“Hasil daripada mesyuarat tersebut, DBKL mengeluarkan Arahan Memberhentikan Kerja (Stop Work Order) serta-merta kepada Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu pemilik projek Cadangan Membina 1 Blok 44 Tingkat Menara SOHO (326 unit) Dengan 1 Basemen yang terletak di Lot PT 163, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur,” katanya.
 
Terdahulu pada 27 Jan lalu, perkhidmatan LRT bagi Laluan Ampang dilaporkan mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.
 
Susulan itu, Rapid Rail Sdn Bhd terpaksa menutup laluan di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya.
 
Syarikat itu berkata, hasil pemerhatian awal mendapati kelewatan LRT yang berlaku pada hari itu berpunca daripada kerosakan struktur jejambat akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.
 
Mengulas lanjut, Mahadi berkata, arahan henti kerja serta-merta itu dibuat sebagai langkah keselamatan bagi memastikan pihak APAD dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenal pasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini.
 
Untuk rekod, projek tersebut kini hanya di peringkat awalan iaitu melibatkan kerja-kerja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2 (protection zone).


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here