
Kementerian Pengangkutan menegaskan kadar tambang bagi mana-mana konsesi perkhidmatan awam termasuk yang dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta (PPP) dikawal melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menterinya, Anthony Loke berkata langkah kerajaan mengawal kadar tambang perkhidmatan pengangkutan awam itu bertujuan memastikan pengoperasiannya dapat dimanfaatkan masyarakat pelbagai lapisan secara menyeluruh.
“Memang dari segi tambang, ia dikawal kerajaan. Mana-mana projek seperti monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan sebagainya, kita kawal tambang bagi memastikannya dapat dibiayai dan digunakan rakyat.
“Jadi tambangnya dikawal dengan serendah mungkin. Namun, apabila kita kawal tambang, ia menjadikan projek untuk swasta ini tak berdaya saing kerana projek PPP kena ada pulangan pelaburan (RoI).
“Umpamanya, kebanyakan lebuh raya dibina melalui model PPP dan dia ada kadar tol yang dipersetujui dalam konsesi,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Loke mengakui semua projek pengangkutan awam termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), LRT di Pulau Pinang dan Transit Laju Autonomi Bertingkat (EART) di Johor memerlukan suntikan dana kerajaan.
“Ini yang dilaksanakan kerajaan dan kita sudah tentu berharap perkhidmatan pengangkutan awam akan terus dapat dinikmati rakyat dengan kadar tambang paling minimum.
“Kerajaan terus komited memastikan kos pengangkutan awam dapat ditampung rakyat,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.































