Utama Berita Automotif Lima warga China cedera, kereta terjunam gaung di Machang

Lima warga China cedera, kereta terjunam gaung di Machang

35
Screenshot

Lima warga China cedera selepas kereta dinaiki terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 7 meter di tapak projek pembinaan kulvert di KM41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai , Kelantan ketika dipercayai berpandukan aplikasi navigasi pada lewat malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 12.01 tengah malam, Khamis.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 11.50 malam ketika sebuah Toyota Prius dipandu seorang lelaki warga China berusia 66 tahun bersama empat penumpang dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh.

“Kenderaan itu dipandu berpandukan aplikasi peta navigasi sebelum dipercayai memasuki kawasan tapak projek pembinaan kulvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam.

“Akibatnya, kereta tersebut terjatuh ke dalam gaung di kawasan projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azuhar berkata, kesemua lima mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Azuhar menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon keselamatan dan penghadang yang dipasang di kawasan kerja pembinaan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi, terutama ketika memandu pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kami turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat awal sehingga tindakan pantas dapat diambil untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here