
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan melaksanakan kerja baik pulih jejantas di Jalan Ampang dekat Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang dengan kadar segera dan dijangka siap hujung bulan ini.
MPAJ menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima satu aduan berhubung kerosakan di jejantas berkenaan dan Jabatan Kejuruteraan sudah membuat lawatan ke lokasi bagi semakan lanjut terhadap aduan yang diterima.
Menurutnya, kerja pembaikan akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan pembaikan bumbung serta lantai jejantas yang mengalami kerosakan.
“Kerja-kerja pembaikan itu dijangka siap pada penghujung Julai 2026 dengan kos hampir RM50,000.
“MPAJ sentiasa berusaha menyediakan persekitaran yang kondusif melalui pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam untuk manfaat masyarakat di Ampang,” katanya.
Semalam akhbar Harian Metro melaporkan jejantas di Jalan Ampang berdekatan Stesen LRT Ampang, didakwa tidak diselenggara hingga berisiko mendatangkan kecederaan kepada pengguna.
Tinjauan mendapati laluan pejalan kaki di jejantas ini mengalami kerosakan jubin dan lantai simen pecah menyebabkan ia kelihatan tidak selamat khususnya kepada kanak-kanak dan warga emas.
Selain itu, bumbungnya yang diperbuat dari polikarbonat, bahan plastik termoplastik bocor menyebabkan air hujan bertakung di laluan pejalan kaki, menjadikannya licin dan meningkatkan risiko pengguna tergelincir atau jatuh.
Dalam pada itu, MPAJ menasihati semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan kemudahan awam demi keselesaan semua pihak.
“Kami amat berharap orang ramai dapat menggunakan kemudahan yang disediakan dengan berhemah serta penuh tanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kerosakan yang mengambil masa untuk dibaik pulih selain membabitkan kos,” katanya.
































