
Tindakan seorang warga asing memandu sebuah Honda Jazz tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) berakhir dengan penyitaan dalam Ops PeWA sekitar Kuala Muda, Kedah pada Ahad.
Operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa JPJ Cawangan Sungai Petani itu mendapati pemandu hanya memiliki Lesen L dan tidak layak memandu tanpa pengawasan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
“Susulan itu, Notis Saman P22 serta Notis Sita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dikeluarkan bagi tindakan lanjut,” menurut kenyataan pada Isnin.
JPJ Negeri Kedah juga menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan setiap pemandu mematuhi undang-undang serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta dengan butiran lengkap pengadu dan juga butiran lengkap aduan.
































