Pemandu forklift menang BMW 218i Gran Coupé M Sport

787

Selepas tiga hari keretanya terlibat dalam nahas di Sungai Udang, Alor Gajah, Mohamad Amirul Izad Ishak, 29 mendapat rezeki terpijak apabila diumumkan pemenang cabutan bertuah ulang tahun ke-7 beli dan menang anjuran Freeport A’ Famosa Outlet.

Dia yang bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah kilang membawa pulang BMW 218i Gran Coupé M Sport bernilai RM220,000.



Mohamad Amirul Izad berkata, selepas terlibat nahas, dia terpaksa meminjam kereta milik bapa mentuanya untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Ini satu kejutan paling besar dalam hidup saya kerana tiga hari lalu kereta saya berada di bengkel selepas terbabit dalam kemalangan di Sungai Udang.

“Tiba-tiba malam tadi, nama saya diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah sekali gus memenangi kereta BMW 218i Gran Coupé M Sport.

“Ini mungkin sudah tuah saya dan tidak menyangka sama sekali hanya dengan satu resit pembelian saya berbelanja di Freeport A’ Famosa Outlet bernilai RM600, saya terima kereta mewah bernilai RM220,000,” katanya

Mohamad Amirul Izad merupakan salah seorang daripada 9,000 penyertaan yang layak menyertai cabutan bertuah keseluruhan bernilai RM350,000.

Menurutnya, dia berada di pusat beli-belah itu untuk membeli barangan selepas mendapat bonus tahunan dan langsung tidak menyangka bakal terpilih memenangi kereta mewah itu.

“Bila dengar ada cabutan, saya pun pergi dan duduk tidak jauh daripada tempat cabutan diadakan.

“Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang saya terus mengangkat tangan,” jelasnya yang masih terkejut dengan hadiah dimenangi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here