Pemandu treler tak sedar langgar orang

361

Lelaki meninggal dunia dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya hancur digilis treler di Jalan BRP 1/10a berhadapan sebuah sekolah menengah di Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 12.50 tengah malam tadi.

“Siasatan awal mendapati treler itu diletakkan di hadapan sekolah menengah jam 10.30 malam tadi oleh pemandunya yang berusia 38 tahun untuk singgah ke rumah.



“Pemandu itu kemudian menghidupkan enjin treler untuk bergerak semula bagi mengambil muatan di Klang jam 12.29 tengah malam tadi.

“Apabila kenderaan itu mula bergerak jam 12.40 tengah malam, pemandu dimaklumkan seorang penunggang motosikal bahawa treler terbabit melanggar seorang lelaki yang berada dalam keadaan terbaring di tayar kanan belakang,” katanya.

Shafa’aton berkata, mangsa berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

“Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

“Pemeriksaan terhadap treler itu mendapati terdapat kesan darah dan serpihan otak di tayar belakang kanan kenderaan berkenaan.

“Pihak polis sudah mengambil keterangan pemandu treler terbabit dan saksi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan jam 12.41 tengah malam tadi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian kami mendapati terdapat sebuah treler sepanjang kira-kira 12 meter melanggar seorang lelaki yang cedera di bahagian kepala.

“Anggota bertugas bertindak membuat pemeriksaan dan membantu pihak ambulans menutup mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here