Tiga beranak maut motosikal langgar belakang lori

399

Hubungan tiga individu yang maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor Baharu, petang semalam di kenal pasti sebagai anak beranak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mangsa terdiri daripada Mohammad Shahril Abdullah, 38 dan isterinya, Habsah Jailani, 41.

Jelasnya, anak mereka dikenali sebagai Muhammad Dany Lukman Naim, 10, turut terbunuh.



“Siasatan awal mendapati, dalam kejadian pada pukul 4.40 petang itu, motosikal Yamaha 132LC yang ditunggang mangsa dalam perjalanan menuju ke Jalan Tampoi.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang disyaki melanggar bahagian belakang lori Mitsubishi Fuso yang berhenti di lorong tengah semasa lampu syarat berwarna merah,” katanya. 

Fariz Ammar berkata, akibat kemalangan itu ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Manakala, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here