Anak maut dirempuh depan bapa

1218

Seorang bapa sempat keluar dari kereta dipandunya yang terlibat kemalangan dan meminta anaknya memasang lampu amaran sebelum kenderaan itu dirempuh dari arah sama di KM242.9 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), arah utara dekat Pedas, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi, mangsa R Thiru Murugan, 26, yang berasal dari Skudai, Johor, disahkan maut di lokasi kejadian selepas parah di beberapa bahagian badan.



Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, berkata siasatan awal mendapati dua kereta dari arah Melaka ke ibu negara berlanggar sesama sendiri sebelum sebuah daripadanya terbabas dan terlanggar kereta lain.

“Kereta Toyota Vios dipandu di lorong kanan dari Johor menghala ke Selangor. Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta jenis Hyundai Tucson yang mengekori dari arah belakang hilang kawalan dan terlanggar Toyota Vios dari arah belakang.

“Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta jenis Honda City yang berada di depan, di lorong sama,” katanya.

Pemandu Toyota Vios keluar dari kenderaan dan meminta anaknya supaya menyalakan lampu bagi memberi amaran kepada kenderaan lain.

“Namun, secara tiba-tiba sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 31 tahun dari arah belakang di lorong kanan dikatakan hilang kawalan dan merempuh Toyota Vios berkenaan.

“Ketika itu mangsa yang maut masih berada di dalam Toyota Vios. Akibat kemalangan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Hazri berkata, pemandu Perodua Myvi cedera ringan dan dirawat di sebuah hospital swasta di Senawang, manakala tiga pemandu kereta lain tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here