Pemandu lori didenda RM30,000 miliki diesel bersubsidi

269

Seorang pemandu lori didenda RM30,000 setelah mengaku salah memiliki 1,450 liter minyak diesel bersubsidi di Mahkamah Syesen, Johor Bahru. 

Moo Yit Lim, 32, membuat pengakuan berkenaan di depan Hakim Mahkamah Seksyen, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim dengan dibantu jurubahasa Mandarin.



Berdasarkan kepada kertas siasatan, Moo Yit didapati meletakkan minyak diesel berkenaan dalam dua tong plastik di bahagian belakang lorinya.

Atas perbuatan itu, Yit Lim melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen

Mengikut fakta kes, Yit Lim ditahan dalam satu serbuan polis pada hari kejadian dan pemeriksaan yang dijalankan telah menemui dua buah tong plastik yang mengandungi cecair disyaki diesel berada di bahagian belakang lori tersebut.

Siasatan lanjut mendapati, Yit Lim menyewa lori tersebut daripada sebuah syarikat selama 11 hari dengan bayaran RM150 sehari dan melakukan pengubahsuaian pada kenderaan tersebut.

Pemeriksaan yang dilakukan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati terdapat sambungan paip dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan pada kenderaan.

Pemeriksaan lanjut pula menemukan kunci dan resit pembelian minyak diesel dari pelbagai stesen minyak.

Bagaimanapun, Yit Lim gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit membolehkannya menyimpan dan menguruskan minyak diesel berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff, sementara Yit Lim tidak diwakili peguam.

Hakim turut memerintahkan, lori Daihatsu dan baki jualan diesel bernilai RM3,480 di dalam lori terbabit dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here