Buat bising uji jentera berhampiran hospital, empat samseng jalanan ditahan

452

Perbuatan samseng jalanan membuat bising termasuk mengganggu ketenteraman operasi dan pesakit di sebuah hospital swasta mengundang padah selepas dicekup dalam operasi, baru-baru ini.

Dalam operasi bermula jam 3 pagi pada 20 Mei lalu itu, polis menahan 120 buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, operasi melibatkan 121 anggota termasuk pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah tersebut selepas menerima laporan daripada penduduk tempatan dan hospital serta penghuni hotel.



Menerusi operasi itu, pihak berkuasa turut menahan empat lelaki berusia 20 hingga 25 tahun yang menunggang secara melulu dan berbahaya.

“Keempat-empat suspek ini didapati membuat pusingan dari arah Kompleks Sukan Pandamaran sehingga Pelabuhan Klang dipercayai bagi menguji jentera motosikal mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

Beliau menambah, hasil operasi sebanyak 120 buah motosikal disita dan kesemua penunggang diarah menolak motor mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah. 

Hoong Fong menjelaskan, pemeriksaan lanjut mendapati 81 daripadanya melakukan pengubahsuaian selain 53 penunggang tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Kesemua motosikal tersebut telah disita dan secara keseluruhan sebanyak 334 keping saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” ujarnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here