Utama Berita Automotif Kapal selam Titan meletup berhampiran Titanic, lima penumpang disahkan maut

Kapal selam Titan meletup berhampiran Titanic, lima penumpang disahkan maut

390

Lima penumpang kapal selam yang hilang selama beberapa hari dilaporkan terbunuh selepas mengalami ‘letupan dahsyat’ di lokasi kapal Titanic berkubur.

Krew mencari dan menyelamat dari jauh yang mengendalikan kenderaan bawah air menemui serpihan kapal selam Titan sepanjang 22 kaki itu berhampiran Titanic pada awal Khamis, iaitu hari ia dijangka kehabisan oksigen.



Serpihan itu ditemui oleh kenderaan pengendalian jarak jauh (ROV) milik kapal Kanada Horizon Arctic yang sampai ke dasar laut.

Misi mencari dan menyelamat kompleks itu melibatkan kakitangan dari Amerika, Kanada, Perancis dan United Kingdom. Satu lagi ROV, milik kapal Perancis L’Atalante, juga digunakan pada Khamis.

“Serpihan itu konsisten dengan letupan dahsyat kapal itu,” kata Komander Daerah Pengawal Pantai Pertama, Laksamana Muda John Mauger.

Serpihan itu ditemui kira-kira 1,600 kaki dari haluan Titanic di dasar laut dan masih terlalu awal untuk mengetahui bila letupan berlaku. 

Bahagian ekor Titan bersama serpihan lain ditemui kira-kira 500 meter dari bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut berkenaan.

Syarikat yang mengendalikan ekspedisi berkenaan, OceanGate berkata, semua penumpang Titan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stockton Rush, dipercayai maut.
 
 
Empat mangsa lain dikenalpasti sebagai Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding serta Paul-Henri Nargeolet.
 
Dawood merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Pakistan-Britain dan anaknya berusia 19 tahun.
 
Harding, 58, pula seorang billionair Britain, manakala Nargeolet merupakan seorang peneroka berusia 77 tahun dari Perancis.
 
OceanGate mengenakan bayaran sebanyak AS250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700km selatan St John’s, Newfoundland.
 
Kapal selam OceanGate yang dilaporkan hilang itu mampu memuatkan lima orang dengan bekalan oksigen selama empat hari.
 
Bagaimanapun, OceanGate tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bagaimana ia mengesahkan kesemua penumpang meninggal dunia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here