Perodua bakal guna idea pemenang ACSDC 2023 untuk bangun model sedan kompak masa depan

541

PERODUA bakal menggunakan idea dan kreativiti peserta Asian Compact Sedan Design Challenge (ACSDC) 2023 untuk membangunkan model sedan kompak jenama pengeluar kereta nasional itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata idea dan kreativiti yang dicetuskan peserta ACSDC akan digunakan PERODUA untuk membangunkan sama ada sedan kompak serba baharu atau model generasi baharu Bezza.



Menurutnya, pihaknya akan mendapat kepelbagaian kreativiti daripada pereka profesional atau penuntut universiti yang menyertai ACSDC terbabit yang mana bakal disertai peserta Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Singapore, Myanmar, Filipina, Kemboja, Jepun, dan Korea.

“Mereka yang menampilkan pelbagai kreativiti untuk menghasilkan reka bentuk kereta yang dapat memenuhi keperluan pelanggan di Asia. 

“PERODUA akan menggunakan idea mereka untuk membangunkan sama ada model baharu Bezza atau sedan kompak serba baharu yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah di Asia,” katanya kepada media selepas majlis pra pelancaran ACSDC di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri; dan Pengarah Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Husaini Ismail.

ACSDC dianjurkan oleh MRM dengan kerjasama PERODUA dan SIRIM dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.

ACSDC adalah pertandingan reka bentuk, inisiatif MRM dan PERODUA bagi memperkasakan industri yang sangat signifikan kepada negara.

Ia membabitkan sektor pembuatan reka bentuk automotif yang menjadi industri terpenting dan memberi sumbangan besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Objektif utama pertandingan itu diadakan bagi menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi berkualiti tinggi dalam kalangan pereka serta memastikan sumbangan bernas daripada pihak awam diterima pakai dalam proses reka bentuk industri khususnya automotif.

ACSDC dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori profesional dan kategori pelajar institusi pengajian tinggi.

Hadiah kategori profesional:

  • Pertama: RM20,000
  • Kedua: RM15,000
  • Ketiga: RM10,000

Hadiah kategori universiti:

  • Pertama: RM18,000
  • Kedua: RM13,000
  • Ketiga: RM8,000
  • Dua pemenang saguhati: RM4,500 setiap pemenang

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here