Kerajaan bersetuju melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Inisiatif bermula 15 Ogos itu akan memanfaatkan lebih 56,000 pelajar universiti awam dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16.8 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata subsidi tiket akan diberikan melalui credit shell iaitu baucar digital RM300 yang dikeluarkan syarikat penerbangan kepada pelajar yang layak untuk ditebus.
Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober 2023. Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.
SYARAT LAYAK PEMOHON
Berikut syarat subsidi tiket penerbangan:
- Semua pelajar warganegara Malaysia yang mengikuti pengajian di universiti awam pada tahun ini layak memohon subsidi tiket penerbangan melibatkan kategori:
- Berasal dari Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Semenanjung
- Berasal dari Semenanjung (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan
- Berasal dari Sabah (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan
- Berasal dari Sarawak (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan
- Berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Sarawak
2. Sah bagi pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal (Semenanjung/ Sabah/ Sarawak/ Labuan) dan lokasi pelajar sedang menuntut (Semenanjung Malaysia/ Sabah/ Sarawak/ Labuan)
3. Hanya sah bagi pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirline
CARA MOHON
Berikut langkah untuk memohon subsidi penerbangan:
- Semak kelayakan di lawan web Kementerian Pengangkutan (dimaklumkan kemudian).
- Jika tidak layak, boleh membuat rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing
- Memohon bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan di laman web syarikat penerbangan yang dipilih
- Selepas pemohonan diterima, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket pesawat
- Jika harga tiket kurang daripada RM300, baki baucer digital akan kekal dalam credit shell untuk digunakan bagi pembelian tiket seterusnya