Jalan tidak rata, beranak tengah hutan akibat terhentak

260

Beranak di tengah-te­ngah hutan dan mengalami ke­guguran akibat jalan yang teruk antara perkara yang tidak asing lagi bagi penduduk Orang Asli di Pos Sinderut, Lipis, Pahang.

Ini kerana laluan dari jalan besar me­nuju ke 18 buah kampung di Pos Sinderut sejauh kira-kira 35km itu tidak boleh dilalui kenderaan ringan.



Dengan perjalanan yang mengambil masa kira-kira hampir dua jam menaiki pacuan empat roda menyaksikan lebih 4,000 penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan menggunakan motosikal untuk keluar ke pekan Sungai Koyan. 

Batin Yok Tun dari Kampung Janggap, Pos Sinderut berkata, keadaan jalan yang begitu teruk, apatah lagi ketika hujan membuatkan penduduk resah dan terbeban terutama sekali bagi yang sedang sakit atau mengandung.

Katanya, Kampung Janggap yang mempunyai lebih 200 penduduk adalah kampung paling jauh di Pos Sinderut.

“Penduduk kampung saya adalah yang paling terkesan ke­rana selepas melalui jalan utama Pos Sinderut yang rosak, kami terpaksa pula berjalan kaki ke kampung sejauh lebih 5km.

“Pernah ada orang hendak beranak, kami terpaksa berjalan kaki membawanya dengan pengusung bergilir-gilir untuk keluar dari kampung dalam keadaan hujan lebat sehinggalah diambil oleh ambulans yang tunggu di jalan besar,” katanya.

Batin Kampung Tigol, Pos Sinderut, Mahathir Tegos memberitahu, keadaan jalan yang te­ruk menyebabkan ramai ibu menghadapi kesukaran dan ke­sakitan apabila hendak bersalin.

Katanya, keadaan jalan yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan menyaksikan banyak kejadian ibu-ibu yang tidak sempat dibawa ke hospital dan terpaksa bersalin di tengah jalan.

“Ada yang tidak pernah me­nyambut bayi terma­suk suami terpaksa bermandi darah apabila isteri sudah hendak beranak di tengah hutan,” ujarnya.

Menurutnya, keadaan jalan yang teruk juga boleh menyebabkan kematian apabila anak pe­rempuannya sendiri mengalami keguguran selepas terjatuh dari motosikal ketika hendak keluar ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here