[Video] Kereta mengundur laju langgar kanak-kanak perempuan

591

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera ringan selepas sebuah Hyundai Elantra tiba-tiba mengundur dan melanggar mangsa dan pintu depan sebuah premis di Jalan Eco Grandeur, Puncak Alam, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami calar di bahagian muka.



Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 30-an itu dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke Jalan Eco Grandeur untuk mengambil anaknya pulang dari Tadika.

“Setibanya di tempat kejadian, semasa pemandu mengundur untuk memasuki petak parkir di depa kedai menjual makanan haiwan, dia tertekan pedal minyak secara mendadak sehingga menyebabkan kereta dipandu mengundur dalam keadaan laju,” katanya. 

Mohd Ambia berkata, kenderaan itu kemudiannya melanggar kanak-kanak yang sedang berjalan di kaki lima kawasan tersebut dan seterusnya melanggar pintu hadapan premis kedai.
 
“Akibat daripada kemalangan itu mangsa telah mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam untuk mendapatkan rawatan.
 

“Pada jam 8.30 pagi tadi (Rabu), mangsa telah disahkan berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan untuk keluar dari hospital berkenaan,” jelas beliau.

Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here