Guna Honda CRV isteri buat kerja ‘ulat’ di KLIA 2

830

Pinjam Honda CR-V milik isteri untuk buat kerja khidmat kereta sewa haram atau ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang terbongkar selepas ditahan pada Isnin.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pemandu lelaki itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika sedang menawarkan khidmat pengangkutan kepada dua penumpang tempatan dari Terminal 2 ke sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan kadar tambang RM85 dan akan dibayar apabila tiba di destinasi.



“JPJ telah bertindak menyita Honda CR-V terlibat untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati SUV itu ialah milik isteri pemandu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Katanya, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

“Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu dan pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram,” jelasnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here