Tiga rider sewa Perodua Bezza edar 20kg syabu di Melaka

921

Dua rider makanan dan seorang penghantar barang diberkas polis selepas dikesan mengedar dadah jenis syabu seberat 20.3kg di sekitar Banda Hilir Melaka, Melaka, kelmarin.

Dua suspek yang berusia 26 tahun serta seorang lagi 27 tahun itu dicekup dalam satu serbuan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ke atas Perodua Bezza di kawasan Padang Temu pada jam 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai datang dari Selangor ke Melaka menggunakan kereta yang disewa bagi menghantar bekalan dadah.



Katanya, pemeriksaan dalam kenderaan terlibat menjumpai seberat 20.38kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM672,838.

“Dua suspek merupakan penghantar makanan serta seorang lagi penghantar barang, ketiga-tiga mereka ini dari Selangor dan dipercayai telah aktif sejak awal tahun ini.

“Sebanyak 20,386 gram dadah jenis syabu telah ditemui dalam kereta dinaiki mereka dan semakan lanjut mendapati kenderaan itu disewa,” katanya.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek bagaimanapun mendapati kesemua mereka negatif dadah, namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kesemua dadah dan kenderaan dimiliki suspek termasuk kereta disewa mereka telah dirampas dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM707,838.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here