Pemandu lori ditetak angkara dendam lama

303

Dendam disyaki punca seorang pemandu lori cedera akibat ditetak seorang lelaki yang bersenjatakan parang di sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seorang wanita berusia 40 tahun menerima pesanan melalui WhatsApp daripada suaminya yang mengatakan diserang oleh suspek pada jam 4.15 petang.

“Mangsa berusia 43 tahun diserang ketika berada di rumah lamanya untuk mengambil surat, lelaki itu cedera di pergelangan tangan dan dua kesan tetakan di belakang badan, dia kini sedang dirawat di Hospital Ampang,” katanya.



Mohd Azam berkata, pihaknya telah memberkas suspek yang juga seorang pengutip sampah berusia 28 tahun di dalam sebuah kereta pada jam 12.30 tengah malam di Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur, pada Rabu.

“Kita turut merampas sehelai baju berwarna putih dan sebilah parang berhulu hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian adalah dipercayai akibat dendam lama iaitu suspek mendakwa mangsa dan beberapa rakannya telah memukulnya.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau kesalahan jenayah dan ujian awal saringan air kencing adalah positif dadah jenis amphethamine, methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC).

“Suspek direman tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here