BYD tersenarai top 5 jenama terlaris global bulan Ogos

356

Menurut data terkini TrendForce, jualan kenderaan merentasi 37 pasaran serantau  pada bulan Ogos berjumlah 5.55 juta mewakili peningkatan hampir 1 peratus berbanding Julai.

Pertumbuhan sederhana tersebut disumbangkan pelancaran model baharu pada musim luruh. Segelintir pengguna menjangkakan pengurangan harga pada model sedia ada manakala selebihnya menunggu model baharu.



Oleh itu, dijangkakan penjualan kereta akan tertumpu pada bulan September. Bagaimanapun, senarai 10 jenama teratas bagi bulan Ogos adalah sama dengan Julai. 

Tiga jenama teratas yang mendahului ialah Toyota, Volkswagen dan Honda. Bulan Ogos menyaksikan momentum perlahan bagi pasaran Jepun yang mana rekod jualan menurun bagi kebanyakan pengeluar dari negara tersebut.

Berbanding bulan sebelumnya, Toyota mencatatkan penurunan sebanyak 2.6 peratus, manakala Honda merekodkan peningkatan kecil sebanyak 0.8 peratus.

Sementara, satu-satunya jenama China, BYD tersenarai dalam top 10 mendahului Ford di tangga keempat. 

Walaupun permintaan yang semakin lemah dalam pasaran domestik, BYD tidak terjejas dengan ketara kerana penawaran rangkaian produk tenaga baharu. 

BYD menyaksikan peningkatan jualan kenderaan sebanyak 5 peratus berbanding Julai iaitu perbezaan 0.1 peratus di belakang Honda. Pengeluar kereta Jepun masih boleh bergantung pada pasaran serantau seperti Asia Tenggara untuk memacu jualan kenderaan mereka.

Oleh itu, mempercepatkan kadar pertumbuhan di luar negara merupakan cabaran utama bagi BYD jika berusaha untuk mengatasi Honda pada skala global.

Dalam tempoh 12 bulan, BYD mengeksport lebih daripada 150,000 kenderaan dan penganalisis percaya jenama itu mampu mencapai volum eksport 250,000-300,000 unit tahun ini.

Bagi Ford pula, prestasi pada Ogos menunjukkan penguncupan jualan di Eropah dan Amerika. Dengan penurunan sebanyak 6.7 peratus berbanding Julai, Ford jatuh ke tempat keenam.

Walaupun pelancaran model kenderaan baharu pada musim luruh ini dijangka meningkatkan jualan kereta baharu, beberapa faktor terus mempengaruhi pasaran serantau.

Faktor-faktor ini termasuk mogok berterusan oleh United Auto Workers di Amerika dan pengumuman Rusia pada 21 September mengenakan sekatan eksport petrol dan diesel.

Tindakan Rusia sekali lagi boleh memberi kesan kepada bekalan tenaga Eropah dan menyumbang kepada lonjakan harga minyak.

Perkembangan sedemikian juga boleh mengganggu usaha kerajaan untuk mengurangkan inflasi. Jika inflasi meningkat, pasaran pengguna mungkin lebih lemah dan bank pusat  terpaksa menaikkan kadar faedah sekali lagi.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here