Abang Saga pukul penunggang positif dadah

1065

Tiga lelaki diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kejadian memukul seorang penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat- Klang, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tiga lelaki Melayu berusia 28 hingga 39 tahun ditahan pada jam 6.30 petang semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek didapati mempunyai dua rekod lampau membabitkan dadah.



“Saringan ujian air kencing terhadap suspek utama mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Jelasnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Majistret Klang hari ini.

Semalam, tular di media sosial suspek bertindak memukul dan merosakkan motosikal milik seorang penunggang.

Kejadian berlaku selepas penunggang motosikal membunyikan hon terhadap Proton Saga yang dinaiki suspek kerana memandu secara berbahaya.

Suspek kemudian bertindak menghalang penunggang motosikal sebelum mencekik, menumbuk muka, menendang perut dan kaki beberapa kali.

Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bibir, tulang rusuk dan kaki serta kerosakan motosikal sebanyak RM250. Kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here