Pemandu BMW dakwa panik, tak tahu patah balik

507

Pemandu wanita yang memandu melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada Isnin lalu memberi alasan panik gara-gara tersalah jalan dan tidak tahu berpatah balik ketika kejadian berlaku.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata wanita berasal dari Alor Star, Kedah yang berusia 41 tahun itu bekerja sebagai pegawai bank di negeri ini.



Menurutnya, ketika kejadian, wanita yang memandu BMW itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar dari sebuah restoran di Persiaran Karpal Singh, Georgetown.

“Kita belum mengambil keterangan daripada kedua-dua pemandu kereta kerana mereka masih dirawat di hospital. Pemandu Perodua Bezza baru menjalani pembedahan untuk memotong usus kecil di Hospital Pulau Pinang akibat daripada pelanggaran itu.

“Sementara itu, pemandu wanita berkenaan hanya mengalami pening dan sesak nafas. Dia masih dirawat di sebuah hospital swasta di sini,” katanya.

Tambahnya, polis telah mengambil sampel darah pemandu wanita berkenaan untuk ujian alkohol dan dadah.

“Kita masih menunggu keputusan analisis sampel darah wanita tersebut sebelum siasatan lanjut dijalankan.

“Siasatan mendapati wanita berkenaan memandu melawan arus sejauh 500 kilometer sebelum melanggar sebuah kenderaan lain,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, seorang lelaki cedera selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta mewah yang dipandu wanita berkenaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here