Stesen tertua di Kuala Pilah, 100 tahun bekal minyak

421

Meskipun didakwa sudah berusia 100 tahun, namun sebuah stesen minyak di Jalan Besar Pekan Johol, Kuala Pilah masih utuh berdiri berkhidmat buat penduduk setempat.

Bangunan stesen minyak itu sebesar sebuah bilik bahkan difahamkan ia merupakan struktur sedia ada yang mempunyai nilai sejarahnya tersendiri.



Stesen minyak tersebut yang dibuka setiap hari bermula jam 7.30 pagi sehingga 7 petang itu pernah diarahkan tutup sebelum ini, namun mengambil kira permintaan orang ramai, ia terus dibenarkan beroperasi.

Seorang pekerjanya, R Mary Agnes, 45, berkata, stesen minyak tersebut adalah yang tertua dalam daerah ini dan masih mampu beroperasi dengan baik.

“Terdapat tiga pekerja di sini dan saya sendiri sudah bekerja lebih sembilan tahun.

“Walaupun stesen minyak ini kecil dan hanya terdapat tiga pam, tapi ia sangat membantu penduduk sekitar kerana jika tidak, mereka perlu melalui perjalanan kira-kira 25km untuk ke pekan Tampin atau Kuala Pilah bagi mengisi minyak,” katanya.

Dia turut mengakui stesen minyak berkenaan pernah diarahkan tutup kira-kira 15 tahun lalu disebabkan usianya yang sudah tua, namun terus dibenarkan beroperasi atas permintaan penduduk.

Ujarnya, ia diusahakan pemiliknya dari satu generasi ke generasi dan masih menggunakan struktur bangunan sedia ada.

“Selain beri kemudahan kepada orang ramai, stesen minyak ini telah juga telah menjadi nilai sejarah dan ramai orang luar yang datang untuk bergambar,” katanya.

Sementara itu, penduduk setempat, Abdul Jani Abas, 57, berkata, dia difahamkan stesen minyak tersebut sudah ada sebelum tahun 60-an dan kemungkinan lebih awal lagi.

Katanya, dia juga pernah mendengar yang stesen minyak itu akan ditutup dan akan dibina stesen minyak terdekat di Air Mawang, Kuala Pilah.

“Tapi tak jadi pula, katanya keadaan tanah yang tak sesuai. Bagi saya, eloklah ia dikekalkan sahaja kerana sangat diperlukan penduduk,” katanya yang tinggal di Gemencheh Hulu.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here