Nenek maut hantar cucu ke tadika

482

Seorang wanita maut ketika dalam perjalanan menghantar cucunya ke tadika dalam nahas melibatkan sebuah kereta dengan sebuah motosikal di Kampung Changkat Kinding, Tanjung Rambutan, Ipoh, pagi tadi. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata nahas sekitar jam 7.15 pagi tadi mengakibatkan wanita berumur 59 tahun yang memandu Perodua Viva, disahkan maut di lokasi kejadian.



Manakala, penunggang motosikal seorang remaja lelaki berumur 17 tahun mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun digerakkan ke lokasi sebaik panggilan diterima melalui Pusat Gerakan Operasi (PGO) jam 7.17 pagi tadi.

Katanya, ketibaan bomba mendapati wanita tersebut dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Viva, manakala remaja yang menunggang motosikal cedera parah.

“Wanita itu tersepit dan meninggal dunia di dalam kereta. Turut berada dalam kereta sama ketika itu adalah seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun namun kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan tetapi dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.

“Berdasarkan maklumat, pemandu dan kanak-kanak itu dalam perjalanan ke tadika atau sekolah dan hubungan antara mereka adalah nenek dan cucu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke hospital manakala yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here