“Boleh pandu EV ke Pantai Timur, sampai ker” Ini jawapannya…

315

Nok kelik kapung, sapa ko guno keto EV, nok cas mano?” Itulah satu daripada pertanyaan rakan penulis sekiranya dia mahu membeli kenderaan elektrik (EV).

Maklumlah, penulis berasal dari Kelantan. Bagi penulis, itu satu soalan yang agak mencabar untuk menjawabnya sekiranya bukan pengguna atau pemilik EV. 

Kalau setakat penulis memandu kereta pandu uji di sekitar Lembah Klang, utara atau selatan tanah air, mungkin tidak mempunyai masalah itu. Memandangkan pusat pengecas banyak di sepanjang lebuh raya berkenaan. 



Bagaimana pula untuk ke negeri Pantai Timur?

Untuk menjawab soalan itu, Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar (ZEVA- Zero Emission Vehicle Association) menganjurkan konvoi media Jelajah EV Malaysia ke negeri Pantai Timur.

Konvoi itu turut dibantu rakan kerjasamanya membabitkan TNB, Gentari, Yinson GreenTech, Go To-U, EON, Go Auto, Hyundai dan PEKEMA.

Tujuannya hanya satu, menghebahkan bahawa pemilik EV sebenarnya sudah boleh akses ke negeri Pantai Timur dengan pusat pengecas yang disediakan sepanjang perjalanan sekiranya mahu ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Tanpa acara itu, penulis sendiri pun sangsi untuk pulang ke kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan dengan memandu EV.

Usaha yang dilakukan oleh ZEVA selaku pertubuhan bukan kerajaan untuk mengembangkan penggunaan EV di negara ini sangat bertepatan bagi mengurangkan pelepasan karbon serta menyumbang kepada sistem pengangkutan yang mampan.

Stesen Pengecas Pertama Ke Pantai Timur

Perjalanan konvoi itu bermula di TNB Bangsar, yang mana ia dilepaskan oleh Pengarah Program (PMO Kenderaan Elektrik) Tenaga Nasional Berhad dan Presiden Zeva, Wan Ahmad Zam Zam Abd Wahab.

Untuk pengecas pertama sekiranya keluar dari Lembah Klang ke Pantai Timur melalui Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1), kenderaan boleh dicas di Rehat & Rawat (R&R) Gambang, Pahang. 

Stesen pengecas DC berkapasiti 180kw yang mempunyai dua poin itu disediakan oleh Gentari. Setiap masa, dua kenderaan boleh dicas sekali gus yang mana kuasanya dibahagikan kepada dua iaitu 90kw.

Harganya untuk mengecas adalah RM2.20 untuk seminit. 

Buat masa ini, Gentari mempunyai hampir 300 stesen pengecas di seluruh Malaysia yang mana pembayaran boleh dibuat menerusi aplikasi.

Stesen Pengecas Kedua Ke Pantai Timur

Sekiranya perjalanan masih jauh untuk ke Kelantan atau Terengganu, pengguna EV tidak perlu bimbang. 

Ini kerana kenderaan boleh dicas di R&R Paka, Terengganu. Ia adalah lokasi yang sangat strategik untuk mengecas kenderaan sebelum keluar dari Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) ke Kota Bharu dengan jarak hampir 300km atau ke Kuala Terengganu hampir 140km.

Pusat Pengecas DC TNB Electron di R&R Paka itu disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad. Ia berkapasiti 180kw yang mana mempunyai dua poin masing-masing adalah 90kw.

Harganya pula, sama seperti di pusat pengecas Gentari di R&R Gambang, iaitu RM2.20 seminit. Ia boleh dibayar atau di tempah menggunakan aplikasi GO TO-U.

Selain R&R Paka, kemudahan Pusat Pengecas DC TNB Electron turut ditempatkan di R&R Ayer Keroh (Northbound) dan R&R Tapah (Northbound).

Stesen Pengecas Pertama Ke Lembah Klang

Untuk perjalanan pulang dari Kota Bharu atau Kuala Terengganu ke Lembah Klang, boleh dikatakan sedikit mencabar kerana stesen pengecas pertama yang akan ditemui adalah di kedai kopi jenama terkemuka terletak Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Untuk ke pusat pengecas yang disediakan oleh Yinson Greentech itu, pengguna dari Pantai Timur perlu menggunakan susur keluar Kuantan dengan jarak hampir 10km. 

Dua poin pengecas disediakan di sana dengan setiap satunya berkapasiti 60kw. Cuma harganya sedikit berbeza iaitu 1kwh untuk RM1.20.

Stesen Pengecas Kedua Ke Lembah Klang

Jika masih tidak mencukupi kapasiti bateri untuk tiba ke Kuala Lumpur, tidak perlu risau. Masih ada solusi terakhirnya, yang mana kenderaan boleh dicas di Petronas Genting Sempah menggunakan pengecas Gentari DC 24kW. 

Ia mungkin mengambil sedikit masa yang lama berbanding pengecas-pengecas yang dikatakan sebelum ini, tetapi ia sebenarnya penyelamat untuk sampai ke destinasi.

Cuma harganya berbeza yang mana perlu membayar 50 sen untuk seminit.

Adakah releven untuk memandu EV ke Pantai Timur?

Buat masa ini, akses untuk ke Pantai Timur dengan menggunakan EV sudah boleh digunakan.

Cuma penggunanya memerlukan sedikit kajian sebelum memulakan perjalanan seperti di mana pusat pengecas dengan jarak yang perlu ditempuh. Anda perlu buat kira-kira sebelum perjalanan, tidak susah pun, semuanya boleh diakses menggunakan internet.

Perjalanan juga perlu santai-santai dengan mengawal had laju pemanduan serta perlu berkorban sedikit masa untuk tempoh mengecas.

Bagi penulis, memandu EV ini sangat menyeronokkan sebab rasanya sedikit berbeza berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE). 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here