Tiga jalan paling rosak di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang

153

Lebuhraya Pulau Indah, Klang, Selangor adalah satu daripada tiga lokasi dikenalpasti sebagai jalan yang terjejas teruk akibat menjadi laluan utama kepada kenderaan berat melebihi muatan.

Dua lagi lokasi yang turut terjejas teruk adalah Jalan Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Jalan Aring 8-Jeneris, Kelantan.

Gambar hiasan

Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan Jalan Persekutuan yang memerlukan kos selenggara yang tinggi adalah laluan menuju ke pelabuhan atau dilalui kenderaan membawa muatan sumber asli, contohnya dari kuari dan kawasan pembalakan dengan keseluruhan direkodkan sepanjang 156.06km.



“Setiap jalan raya direka bentuk mengikut jangka hayat tertentu. Bagi jalan berisi padu trafik rendah seperti jalan luar bandar, jangka hayat reka bentuk kebiasaannya sehingga 10 tahun.

“Bagi jalan raya berisi padu trafik sederhana atau tinggi, jangka hayat reka bentuk adalah sehingga 20 tahun,” katanya.

Menurutnya, jika kenderaan melalui sesuatu jalan dengan membawa muatan melebihi 10 peratus daripada berat dengan muatan (BDM), jangka hayat jalan raya itu dijangka menurun sehingga 50 peratus daripada jangka hayat asal.

“Sekiranya kenderaan itu membawa muatan melebihi 20 peratus daripada BDM dibenarkan, jangka hayat jalan raya akan menurun sehingga 100 peratus daripada jangka hayat asal sekaligus menyebabkan kerosakan berlaku dalam tempoh singkat.

“Ini bermakna jika jalan raya yang direka bentuk dengan jangka hayat 10 tahun dilalui dengan kerap oleh kenderaan bermuatan melebihi 10 peratus daripada BDM, ia hanya akan dapat bertahan untuk lima tahun. 

“Apabila kenderaan membawa muatan melebihi BDM dibenarkan, jalan akan cepat rosak dan kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan lebih awal dari tempoh sepatutnya,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini JKR mempunyai kerja pembaikan Jalan Persekutuan tertunggak membabitkan kos berjumlah RM3.2 bilion.

“Ia bagi kerja pembaikan panjang keseluruhan 3,821km dan dianggarkan meningkat kepada RM4.3 bilion dengan mengambil kira kadar harga semasa,” katanya.

Menurutnya, kerosakan jalan raya terbahagi kepada dua kategori iaitu kerosakan fungsi dan kerosakan struktur.

“Dari segi kos pembaikan, kerosakan struktur memerlukan kos lebih tinggi berbanding kerosakan fungsi.

“Pertambahan beban gandar melebihi had beban muatan dibenarkan akan mempercepatkan kadar kemerosotan kapasiti struktur secara berlipat ganda.

“Apabila situasi itu berlaku, katanya, kapasiti struktur jalan terjejas akan mula mengurangkan jangka hayat reka bentuk kerosakan jalan berlaku dengan lebih awal.

“Jika penyelenggaraan tidak dilaksanakan pada waktu sepatutnya, keadaan struktur pavemen akan merosot dengan lebih teruk menyebabkan kaedah pembaikan menjadi lebih mahal dan menggandakan kos penyelenggaraan secara keseluruhan,” katanya.

PANJANG JALAN PERSEKUTUAN 20,133.152KM 

Panjang keseluruhan Jalan Persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) berjumlah 20,133.152km sehingga 31 Disember 2022.

Daripada jumlah berkenaan, 2,016.050km dikawal selia oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu lebuhraya bertol dan 18,117.102km pula adalah Jalan Persekutuan yang dikawal selia oleh Ibu Pejabat JKR dan JKR negeri.

Secara keseluruhannya, sejauh 18,117.102km Jalan Persekutuan diselenggara oleh JKR melibatkan:

  • 14,876.767km di Semenanjung
  • 3,240.335km di Sabah, Sarawak dan Labuan

Bagi jalan negeri yang dikawal selia oleh JKR pula adalah sepanjang 53,962.923km. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here