Tak sampai lima bulan dibuka, jalan bernilai RM7.2 juta dah rosak

758

Tidak sampai lima bulan dibuka, jalan pintas menghubungkan Bandar Meru Raya dengan Klebang, Ipoh dengan kos RM7.2 juta mengalami kerosakan.

Jalan tersebut merupakan laluan utama lebih 3,000 penduduk sekitar yang bekerja atau berurusan di Bandar Meru Raya. 



Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Klebang Putra 1, Dr Mohamad Azrul Azly Zarul Fu’ad berkata, keadaan jalan mengecewakan orang ramai terutama penduduk di Taman Klebang Putra kerana tidak sampai setahun digunakan sudah rosak.

“Saya mula perasan keadaan jalan ini sejak tiga minggu lalu. Kita hairan bagaimana begitu cepat jalan itu rosak sedangkan bulan Ogos lepas baharu sahaja dibuka. Kita pun terima banyak rungutan daripada penduduk mengenai keadaan jalan ini.

“Permukaan jalan sebegini boleh mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya yang kebanyakannya daripada taman ini,” katanya.

Mohamad Azrul berkata, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berkaitan bagi membaik pulih jalan tersebut sebelum keadaan makin teruk.

Bagi seorang penduduk, Aby Rofde Shafie, 45, pula, keadaan jalan tersebut membahayakan penunggang motosikal jika tidak sempat memperlahankan kenderaan mereka.

Aby Rofde mencadangkan agar sepanjang laluan berkenaan dibina bonggol bagi memperlahankan kenderaan kerana terdapat segelintir pengguna mengabaikan papan tanda had laju yang ditetapkan.

“Bulan Oktober lalu telah berlaku kemalangan di jalan tersebut dan amat wajar pembinaan bonggol tersebut bagi mengelak insiden yang lebih buruk,” katanya.

JALAN MASIH TEMPOH WARANTI

Dalam perkembangan berkaitan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan meneliti perkara tersebut.

“Memandangkan jalan tersebut masih dalam tempoh waranti, laluan yang rosak akan dibaik pulih semula,” jelasnya. 

Jalan Meru Raya-Klebang dibuka kepada orang ramai pada 15 Ogos lalu dengan kos pembinaan berjumlah RM7.2 juta.

Pembinaannya dilaksanakan secara kerjasama pintar antara MBI dengan beberapa pemaju.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here