TPM : Had umur, tempoh pegang lesen B2 perlu diambilkira untuk layak dapat B penuh

5745

Had umur dan tempoh pemilikan lesen memandu kelas B2 bagi motosikal adalah antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum cadangan naik taraf kepada lesen kelas B secara automatik dapat diputuskan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat terperinci dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.



“Apa yang kami bincangkan tadi, ada tempoh tertentu dari segi umur iaitu pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas, keduanya memegang lesen B2 untuk satu tempoh yang tertentu, baru layak untuk mendapat B penuh.

“Perkara ini kita akan muktamadkan bila bermesyuarat dengan JPJ dan JSPT,” katanya.

Ogos lalu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya lesen memandu kelas B2 dinaiktaraf kepada kelas B secara automatik, dan menurutnya perkara itu akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk diteliti terlebih dahulu.

JPJ mengklasifikasikan lesen memandu kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250cc manakala kelas B membabitkan motosikal melebihi 500cc.

Loke pada sesi libat urus itu berkata, keputusan menaik taraf kepada lesen B secara automatik tidak mudah kerana statistik JSPT menunjukkan kemalangan jalan raya paling banyak melibatkan mereka yang berumur dalam kalangan 16 hingga 35 tahun.

“Kita lihat data, kalau mereka yang baru dapat lesen B2 diberi lesen B, dia akan bertindak sewenang-wenangnya, kalau berumur sedikit mungkin lebih berpengalaman selain ada tanggungjawab kepada keluarga dan sebagainya,” kata Loke.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, jumlah kematian penunggang motosikal akibat nahas jalan raya pada tahun 2023 meningkat 10 peratus iaitu 4,480 kemalangan maut berbanding 4,071 kes pada tahun 2022.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here