Berjaya Land, IJM, MRCB dan KTMB bergabung bida projek kereta api laju (HSR)

403

Anak syarikat milik Berjaya Land Bhd (BLand), Berjaya Rail Sdn Bhd (BRail) bekerjasama dengan IJM Construction Sdn Bhd, Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk membida projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Konsortium yang diketuai BRail tersebut mengemukakan proposal konsep permintaan untuk maklumat (RFI) bagi projek berkenaan sebelum tarikh akhir penyerahan, menurut sumber.



Tarikh akhir penyerahan proposal konsep meliputi teknikal, kos projek, model komersial dan struktur konsortium ialah 15 Januari lalu.

The Edge melaporkan konsortium yang diketuai BRail tersebut yakin akan menang bidaan projek itu kerana pengalaman ahlinya.

Ahli teknikal konsortium yang lain termasuk Hitachi Rail STS Jepun yang pakar dalam menyediakan sistem isyarat, Hyundai Rotem Co iaitu sebuah syarikat Korea Selatan yang mengeluarkan stok pusingan (rolling stock), dan operator kereta api Jerman Deutsche Bahn AG DB Engineering and Consulting GmbH.

Selain itu, konsortium tersebut yakin menang bidaan kerana projek merupakan inisiatif kewangan swasta (PFI), yang bermaksud pembiayaan pelaburan sepenuhnya dari sektor swasta, kata sumber.

Pengerusi BRail, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail yang juga Puteri Sultan Johor memegang 30 peratus kepentingan dalam BRail. Tun Aminah turut menganggotai lembaga pengarah Berjaya Corp Bhd, Berjaya Assets Bhd, Berjaya Capital Bhd, Berjaya Hartanah Bhd, Bukit Kiara Resort Bhd dan REDtone Digital Bhd.

TUJUH KONSORTIUM KEMUKA RFI

gambar hiasan

Dalam satu kenyataan pada 15 Januari lalu, Pengerusi MyHSR Corp Sdn Bhd, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada 31 firma telah menyemukakan RFI untuk projek HSR.

MyHSR, sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Inc dan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan, bertanggungjawab ke atas pembangunan dan pelaksanaan projek itu.

“Hasil penilaian RFI akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Kabinet untuk pertimbangan.

“Jika maklum balas positif, kita akan beralih ke fasa kedua dengan peringkat permohonan cadangan (RFP) untuk mendapatkan cadangan terperinci daripada konsortium terpilih,” katanya.

Projek tersebut akan berdasarkan inisiatif perkongsian awam-swasta pada model reka bentuk, kewangan, binaan, operasi dan pemindahan.

Sebelum ini dilaporkan YTL Corp adalah satu lagi kumpulan yang mengemukakan cadangan konsep untuk projek HSR kepada MyHSR.

Penganalisis percaya YTL Corp boleh menjadi pendahulu memandangkan kumpulan itu adalah penganjur asal HSR pada 2008-2009 dan pada 2018, ia dilantik sebagai rakan kongsi projek penghantaran untuk bahagian selatan HSR.

Pada Disember 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan Malaysia pada dasarnya bersetuju untuk memulihkan projek HSR jika dapat mengurangkan kos.

Projek itu, dengan anggaran awal RM72 bilion tidak dapat dilaksanakan kerana kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat sebelum perjanjian projek tamat pada 31 Disember 2020.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here