Utama Berita Automotif Jepun tarik diri projek kereta api laju (HSR) Malaysia

Jepun tarik diri projek kereta api laju (HSR) Malaysia

264

Syarikat Jepun menarik diri dalam projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, kata sumber kerajaan dan syarikat pada Khamis.

Syarikat-syarikat itu, termasuk East Japan Railway, berharap untuk menggunakan sistem kereta api laju shinkansen dalam projek tersebut tetapi memutuskan ia bakal berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia, kata sumber termasuk dari kerajaan Jepun dan Malaysia.



Perkembangan itu membolehkan pesaing China mengukuhkan lagi pembinaan infrastruktur di Asia Timur selepas mereka menyiapkan kereta api berkelajuan tinggi di Indonesia dan kini sedang membina sebuah lagi di Thailand.

Kerajaan Malaysia mula membuka bidaan pada Julai 2023 yang mana Isnin depan merupakan tarikh akhir. 

Projek itu dijangka menelan kos RM100 bilion tetapi kerajaan Malaysia berhasrat mempromosikannya melalui pembiayaan swasta dan bukannya dengan perbelanjaan kerajaan atau melanjutkan jaminan hutang.

Walaupun firma Jepun menarik diri, beberapa syarikat tempatan merancang untuk bergabung dengan firma China dan Eropah untuk membuat bidaan, kata sumber itu.

Kerajaan Malaysia bersedia untuk mengecilkan calon dalam masa beberapa bulan dan akan memulakan rundingan penuh dengan kerajaan Singapura seawal akhir tahun ini.

Sementara itu, Kosmo melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau baru sahaja menerima laporan berhubung laporan berita mengenai firma Jepun tersebut.

“Saya baru menerima laporan,” jawabnya ringkas.
 

Kerajaan Malaysia dan Singapura pada mulanya mencapai persetujuan asas projek pada 2013, iaitu pembinaan kereta api kelajuan tinggi sejauh 350km yang akan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit, berbanding  lebih empat jam dengan kereta.

Dari Jepun, East Japan Railway dan syarikat perdagangan utama Sumitomo menunjukkan minat untuk menyertai projek itu. Pada 2015, Menteri Pengangkutan Jepun ketika itu, Keiichi Ishii, membentangkan sistem Shinkansen kepada pegawai kerajaan Malaysia semasa lawatan ke Kuala Lumpur.

Tetapi pada 2021, Perdana Menteri Malaysia ketika itu Muhyiddin Yassin membatalkan projek itu kerana bimbang dengan beban kewangan sebelum pentadbiran Anwar Ibrahim secara rasmi menyambung semula projek itu.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here