BMW i5 eDrive40 M Sport (2024) kini didatangkan pengecas AC 22kW, harga naik RM300

79

Tidak menunggu lama, BMW Malaysia memperkenalkan BMW i5 eDrive40 M Sport versi dipertingkatkan hanya selepas empat bulan kereta elektrik (EV) itu dilancarkan. 

BMW i5 kini didatangkan dengan pengecas AC 22kW berbanding 11kW sebelumnya. Tempoh pengecasan kini lebih pantas, mengambil masa 4 jam 15 minit berbanding 8 jam 15 minit sebelumnya.



Namun begitu, BMW i5 eDrive40 M Sport akan terus dilengkapi dengan pengecas DC berkuasa tinggi hingga 205kW yang mana pengecasan dari kosong hingga 80 peratus hanya mengambil masa 34 minit.

Mekanikal masih kekal sama menggunakan kapasiti bateri 83.9kWj dengan jarak perbatuan 582km (WLTP). Motor tunggal di belakang menyalurkan kuasa 340hp dan tork 430Nm.

Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 6 saat dengan kelajuan maksimum 193kmj.

Bagaimanapun, model 2024 itu didatangkan dengan rim lebih kecil iaitu 20-inci Style 939M menggantikan rim aloi dua rona warna bersaiz 21 inci BMW Individual Style 954M.

Malah, BMW tidak lagi menawarkan bumbung kaca panorama, kerusi ventilasi dan kawalan kristal. 

Ciri peralatan lain masih sama menerusi tawaran lampu depan LED adaptif, gril ‘kidney’ Iconic Glow, Sistem Operasi BMW 8.5, panel instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci, pengecas Qi, paparan head up, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem audio Bowers & Wilkins dengan 18 pembesar suara dan output amplifier 655watt.

BMW i5 didatangkan dengan pakej Driving Assistant Professional termasuk brek kecemasan autonomi, kawalan kruise adaptif dengan henti dan mula, lane centering assist, amaran perlanggaran belakang, evasive steering assist, pemantauan titik buta, amaran trafik depan/belakang, pengecaman papan tanda dan amaran buka pintu.

BMW i5 eDrive40 M Sport didatangkan dengan empat warna badan baharu iaitu Sophisto Grey Metallic, Oxide Grey Metallic, Cape York Green Metallic dan Fire Red Metallic.

Harga pula naik RM300 iaitu RM399,800. Dengan pelan pembiayaan Easy Drive daripada BMW Group Financial Services Malaysia, BMW i5 eDrive40 M Sport boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula daripada RM4,845.

Manakala, dengan pembiayaan Straight Line, pelan ansuran bulanan bermula daripada RM4,709 (berdasarkan anggaran 80 peratus jumlah pinjaman untuk tempoh 7 tahun).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here