Bekas penyemak tender UiTM didakwa rasuah Honda Accord

802

Bekas jurutera merangkap penyemak tender Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah sebuah kereta jenis Honda Accord bagi pemerolehan tender di universiti tersebut pada 2009.

Tertuduh, Mohd. Saini Awang, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Saini telah menggunakan jawatannya sebagai pegawai awam iaitu jurutera dan penyemak tender di pejabat pengurusan fasiliti UiTM Cawangan Selangor kampus Puncak Alam bagi memperoleh suapan sebuah kereta jenis Honda Accord 2.4 i-vtec.



Ini sebagai balasan membantu sebuah syarikat memperoleh tender bagi kerja Perkhidmatan Bersepadu Pengurusan,Penyelenggaraan dan Operasi Bangunan di Zon 1 (Kolej Angsana), UiTM Kampus Puncak Alam selama tiga tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pengurusan Fasiliti UiTM kampus Puncak Alam pada Mac 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili Peguam Faizal Rahman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 April depan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here