Saling menghimpit dan pandu melulu, Proton Waja terbabas masuk longkang

1248

Pemandu dan penumpang Proton Waja terbabas lalu terbalik selepas dihimpit sebuah Honda City dekat KM49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komissioner Mohd Nasri Omar berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi.



“Siasatan awal mendapati, Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke Kedah manakala Honda City dari Temerloh menuju ke Shah Alam.

“Setibanya di lokasi kejadian, Honda City itu dipercayai dipandu dengan cuai selain bertindak menghimpit dan menekan brek sehingga menyebabkan pemandu Waja gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas,” katanya. 

Susulan itu, kedua-dua mangsa yang berada dalam Proton Waja yang berumur 50-an dan 30-an mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan.

“Mereka bagaimanapun disahkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Video kejadian tular hari ini di media sosial yang menunjukkan Proton Waja terlibat dipercayai menukar ke lorong kanan dari lorong kiri.

Pada masa sama, pemandu Honda City dari arah belakang tidak berpuas hati dengan tindakan Proton Waja itu kemudiannya mengekori rapat sebelum berlaku kejadian himpit menghimpit antara kedua buah kenderaan itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here