
Seorang lelaki ditahan selepas menyamun seorang guru wanita tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menggunakan motosikal Yamaha RX-Z di Jalan Lubuk Kawah dekat Taman Bukit Tingkat, Temerloh pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, suspek berusia 27 tahun telah ditahan hasil serbuan sepasukan anggota polis ke sebuah rumah di Jalan Serindik di sini kira-kira jam 3.35 petang hari sama.
Menurutnya, suspek merupakan Orang Pengawasan Polis (OPP) daerah Temerloh yang mana akan tamat pengawasan pada 7 Julai 2025.
“Susulan tangkapan suspek, polis berjaya menemui semula barangan yang disamun dan merampas sebuah motosikal yang digunakan semasa melakukan jenayah.
“Suspek memiliki 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Hasil ujian air kencing, suspek positif methamphetamine,” katanya suspek ditahan reman pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa iaitu wanita berusia 43 tahun sedang menunggang motosikal ke tempat kerja.
Jelas Mazlan, mangsa perasan terdapat motosikal suspek mengekorinya dari belakang.
“Suspek kemudiannya memecut ke sebelah kanan dan mengambil beg galas dalam bakul motosikal itu dengan menggunakan tangan kiri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ketika kejadian, suspek berpakaian serba hitam dan telah bertindak patah balik dan melarikan diri.
“Pengadu telah cuba untuk kejar suspek namun telah terlepas semasa tiba di simpang di jalan tersebut dan tidak nampak nombor pendaftaran motosikal suspek.
“Kejadian menyebabkan pengadu kehilangan bag galas warna hijau yang mengandungi kad pengenalan, dua kad bank, telefon bimbit serta wang tunai RM143,” tambahnya.
Mangsa tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.