
Mitsubishi Motors Eropah membuat pengumuman penting mengenai barisan kenderaan elektrik (BEV) mereka.
Mitsubishi memaklumkan model SUV segmen-C serba baharu yang dikenali sebagai Eclipse Cross bakal didedahkan kepada umum pada bulan September tahun ini.
Langkah memperkenalkan Eclipse Cross dilihat sebagai strategi penting untuk mengukuhkan kedudukan Mitsubishi dalam segmen C-SUV yang merupakan segmen kenderaan terbesar di pasaran Eropah.
Pelancaran Eclipse Cross juga menandakan tahun yang sibuk bagi Mitsubishi di Eropah, kerana ia merupakan model SUV ketiga yang diperkenalkan pada tahun 2025.
Dua lagi model SUV yang telah dan akan dilancarkan pada tahun ini ialah:
- Outlander PHEV: Model utama dengan teknologi hibrid plug-in, mula dijual pada musim bunga tahun ini.
- Grandis (ICE/HEV): Model dengan pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid (HEV) ini dijadualkan untuk didedahkan pada bulan Julai.
Eclipse Cross akan mencatat sejarah sebagai model BEV pertama yang dilancarkan oleh Mitsubishi di Eropah sejak tahun 2010.
Pada tahun tersebut, Mitsubishi telah menjadi pengeluar utama pertama yang mengeluarkan BEV secara besar-besaran melalui model perintis mereka, i-MiEV.
Pelancaran Eclipse Cross juga merupakan langkah strategik dalam memperbaharui strategi produk jenama Mitsubishi di Eropah.

Objektif utama strategi ini adalah untuk memaksimumkan liputan segmen teras pasaran Eropah melalui rangkaian model yang berfokuskan SUV.
Rangkaian ini akan merangkumi pelbagai teknologi rangkaian kuasa canggih, daripada enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid (HEV), hibrid plug-in (PHEV), dan terbaru kenderaan elektrik bateri (BEV).
Berikut adalah gambaran ringkas kedudukan model-model utama Mitsubishi di Eropah:
- COLT: Segmen B, pilihan enjin ICE/HEV
- ASX: Segmen B-SUV, pilihan enjin ICE/HEV
- Grandis: Segmen C-SUV, pilihan enjin ICE/HEV
- Eclipse Cross: Segmen C-SUV, BEV
- Outlander PHEV: Segmen D-SUV, PHEV
Dengan ruang dalaman yang luas dan serba boleh, serta dilengkapi teknologi canggih, Eclipse Cross dibangunkan untuk memenuhi keperluan keluarga masa kini sambil sambil menuju masa depan.
Dari segi reka bentuk, Eclipse Cross menampilkan gaya EV yang futuristik dan berkeyakinan.
Reka bentuk ini dibangunkan di bawah pengawasan pasukan Reka Bentuk Mitsubishi Motors Eropah yang berpusat berhampiran Frankfurt am Main, Jerman.
Model ini juga akan menampilkan evolusi terkini bagi identiti reka bentuk hadapan Dynamic Shield Mitsubishi.
Para pelanggan akan mempunyai pilihan dua jenis bateri untuk Eclipse Cross:
- Varian jarak jauh: Akan ditawarkan ketika pelancaran pada Suku Keempat (Q4) tahun 2025.
- Varian jarak pertengahan: Menyusul pada tahun 2026.

Teknologi rangkaian kuasa yang canggih pada Eclipse Cross akan digandingkan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) terkini dan sistem maklumat hibur canggih dengan integrasi Google Built-in.
Kombinasi ini bertujuan memberikan keselamatan dan kemudahan buat seluruh keluarga, baik untuk perjalanan harian mahupun percutian hujung minggu.
Eclipse Cross akan dikeluarkan di Eropah oleh Groupe Renault di kemudahan Ampere Electricity di Douai, Perancis.
Penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula sebelum penghujung tahun 2025.