Pemandu lori bertindak patahkan aci pemacu elak disita

27

Tiga lori tipper yang beroperasi tanpa cukai jalan sah sejak 2016 dan 2018 dikesan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan BRP 7 Legong Kuang-Rawang dan Cyberjaya, Selasa lalu.

Salah sebuah lori itu ditinggalkan di tengah jalan oleh pemandu yang dipercayai warga asing sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa JPJ.

Malah, seorang lagi pemandu di Cyberjaya bertindak mematahkan aci pemacu lorinya bagi menyukarkan tindakan sitaan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kesemua lori itu dikesan ketika anggota JPJ menjalankan rondaan di dua lokasi berkenaan.

“Kesemua kenderaan dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum diperiksa. Salah sebuah lori ditinggalkan di tengah jalan oleh pemandu dipercayai warga asing berdasarkan siasatan awal.

“Seorang lagi pemandu cuba menghalang tindakan rampasan dengan merosakkan komponen kenderaan, namun anggota berjaya membawa lori berkenaan ke stesen JPJ untuk tindakan lanjut,” katanya

Jelasnya, siasatan mendapati sebuah lori beroperasi tanpa cukai jalan dan insurans sah sejak 20 Oktober 2016, manakala dua lagi masing-masing sejak 20 Ogos 2018 dan 4 Julai 2018.

“Pemeriksaan lanjut mendapati enjin salah sebuah lori telah ditukar tanpa kelulusan, manakala nombor casis sebuah lagi diubahsuai.

“Ketiga-tiga lori itu telah dirampas dan akan dihantar untuk pemeriksaan lanjut. Kesemua kenderaan berkemungkinan dilucut hak milik,” katanya.

Jelas beliau, operasi berkenaan membuktikan wujudnya sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan pemilik syarikat yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira keselamatan orang awam.

“JPJ tidak akan berkompromi. Tindakan tegas termasuk pelucuthakan hak milik akan diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya,” ujarnya.

Dalam masa sama, JPJ turut memberi amaran bahawa tindakan menghalang tugas anggota penguat kuasa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 234 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here