Utama Berita Automotif Mayat enam beranak ditemui berkumpul di tempat duduk belakang kereta

Mayat enam beranak ditemui berkumpul di tempat duduk belakang kereta

41

Enam sekeluarga termasuk seorang bayi yang ditemukan maut dipercayai berusaha untuk keluar dari kereta yang terjunam ke dalam Sungai Korok namun tidak berjaya.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, kesemua ahli keluarga itu ditemukan berkumpul di tempat duduk belakang Proton Saga Iswara.

Menurutnya, pasukan penyelamat menemui kesemua mangsa di bahagian kiri belakang kereta yang tenggelam sepenuhnya di dasar sungai berkenaan. 

“Ketika anggota melakukan operasi penyelamatan, kami dapati semua mangsa berada di tempat duduk belakang. Kemungkinan mereka cuba keluar, tetapi tidak berjaya.

“Pasukan bomba terpaksa memecahkan cermin dan memotong badan kereta bagi mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya. 

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan Tuah Haidar, 6 bulan.

Tambah beliau, jasad yang tenggelam untuk tempoh tertentu akan mengembang dan menyukarkan proses pengeluaran melalui pintu biasa.

“Jadi kami terpaksa memecahkan cermin belakang dan memotong struktur kenderaan untuk mengeluarkan mangsa.

“Operasi tidak terlalu sukar kerana kereta sudah terapung dan boleh ditarik ke tebing,”  katanya.

Jelasnya, jarak antara lokasi kereta tenggelam dan tebing sungai hanya kira-kira 1 meter, manakala kedalaman sungai dianggarkan enam meter dengan lebar sekitar 7.6 meter.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here