Polis cari kumpulan pengayuh basikal, halang laluan bas

9111

Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai menghalang laluan sebuah bas di KM23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur menghala Sungai Buloh di Kuala Selangor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9.35 pagi.

“Siasatan awal mendapati mereka mengayuh basikal secara berkumpulan di lorong kiri jalan berkenaan yang kemudian dipercayai menghalang pergerakan sebuah bas yang turut berada di situ.

“Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.

Pihak berkuasa memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan. 

Terdahulu, tular di media sosial berlaku pertengkaran antara pemandu bas perantara Aliran Transit Massa (MRT) dan sekumpulan penunggang basikal tersebut. 

Akibat perselisihan faham itu, pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan itu menenangkan keadaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here