
Apa akan jadi apabila pengeluar jam tangan mewah diberikan kebebasan berkarya untuk menghasilkan sebuah jentera dua roda?
Hasilnya, RMB01 yang merupakan kerjasama antara Richard Mille dan Brough Superior.
Rekaan keseluruhan RMB01 banyak mengambil ilham daripada era permulaan sukan perlumbaan motosikal yang rata-ratanya menampilkan binaan badan yang ringkas dan ringan.
Ia dibina menggunakan kerangka aluminium yang disokong oleh eksoskeleton karbon tempa, casis enjin yang terdedah, lengan ayun aluminium serta fork hadapan jenis double wishbone.
Menggerakkan jentera ini ialah enjin v-twin 997 cc turbo Brough yang dikatan mampu menjana kuasa setinggi 130 hp dan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.
Kepakaran Richard Mille yang sebenar ditumpukan pada binaan meter kluster di mana ia menampilkan susunan pemasangan gear yang terdedah yang mirip kepada binaan jam sebenar Richard Mille.
Struktur seperti bar hendal dan binaan sekeliling kluster instrumen menampilkan kemasan mesin.
Hanya 150 unit sahaja RMB01 yang akan dihasilkan dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl of Speed (matte pearl-white), Selene (matte anthracite grey) dan Nocturnal Sapphire (sapphire blue).
Harga jualan tidak didedahkan, namun untuk perbandingan motosikal edisi istimewa AMB 001 yang dihasilkan oleh Brough Superior bersama Aston Martin tempoh hari dijual pada harga US$120,000 (RM508,320) setiap satu.