Anggota JPJ digantung tugas, memotong di garisan berkembar

89

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menggantung tugas anggota yang didapati memotong di garisan berkembar selepas sebuah video tular di media sosial.

Menurut kenyataan media, pihak JPJ telah menerima laporan aduan awam berkaitan sebuah kenderaan JPJ yang dipandu dengan cara tidak wajar pada 9 Julai lalu di Simpang Pulai, Perak.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya memandang serius  kejadian tersebut dan tindakan tegas serta merta telah dikeluarkan kepada anggota JPJ yang terlibat dengan pengeluaran notis saman atas kesalahan memotong di garisan berkembar.

“Anggota itu juga dikenakan tindakan larangan memandu kenderaan jabatan dan arahan menggantung tugas serta menempatkan anggota yang terlibat ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai,” katanya. 

Beliau berkata pihak JPJ juga telah mengambil langkah susulan dengan melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan seterusnya.

Pihak JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Pihak JPJ merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada orang awam yang telah merakam kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“JPJ menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau real time jika terdapat mana-mana pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dengan menggunakan aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan,” jelasnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here