
Tidak cukup dengan versi jalanan, Lamborghini tampil dengan model litar baharu Temerario GT3.
Ini adalah kereta lumba pertama yang dibangunkan terus dari model jalan raya Temerario dan bakal menggantikan Huracán GT3 yang telah dan banyak berjasa kepada Lamborghini.
Sejak awal fasa pembangunan, projek Temerario memang sudah dirancang untuk mempunyai versi perlumbaan.
Ini membolehkan integrasi kejuruteraan berorientasikan perlumbaan dilakukan dari peringkat reka bentuk terawal.
Hasilnya, Temerario GT3 menggunakan kerangka ruang (spaceframe aluminium) yang diubah suai khusus untuk keperluan perlumbaan, termasuk aspek struktur dan kemudahan servis.
Enjin dan Transmisi
Di bawah badan aerodinamik Temerario GT3 dipasang enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar yang sama seperti model produksi Temerario.
Namun, enjin ini telah direka bentuk semula dengan komponen pengecas turbo yang disesuaikan untuk mematuhi peraturan GT3 dan memberikan prestasi puncak di litar.
Memandangkan peraturan GT3 tidak membenarkan sistem hibrid, Lamborghini mengubah daya penghantaran kuasa enjin kepada 550 hp, berbanding 800 hp pada model asal.
Menariknya, pembangunan rangkaian kuasa Temerario jalan raya sudah pun mengambil kira potensi integrasi sukan permotoran.
Contohnya, penggunaan aci engkol jenis flat-plane dengan sudut 180 darjah antara pin engkol.
Aci engkol seperti ini, yang biasanya digunakan dalam enjin perlumbaan, memastikan aliran dinamik bendalir yang optimum disebabkan oleh urutan pembakaran yang sekata berbanding aci engkol cross-plane, di samping menghasilkan bunyi yang sangat menarik.
Selain itu, penggunaan rod penyambung (conrod) titanium mengurangkan jisim berputar serta menawarkan sifat bahan yang bagus dari segi kekuatan dan keringanan, sekaligus mengurangkan berat.
Enjin V8 turbo berkembar digandingkan dengan kotak gear melintang enam kelajuan.
Kotak udara telah direka semula untuk disesuaikan dengan keperluan baharu pengecas turbo yang lebih kecil pada versi lumba, berbeza dari model jalan raya.
Keseluruhan enjin telah ditentukur semula untuk memberikan prestasi maksimum dalam julat putaran enjin yang lebih besar.
Sistem ekzos pula merupakan rekaan khas yang dibangunkan khusus untuk Temerario GT3 dan dibekalkan oleh Capristo.
Casis dan Badan Kereta
Kerangka ruang aluminium diambil dari barisan pengeluaran Temerario dan diubah suai untuk kegunaan perlumbaan melalui proses pengurangan berat dan keringkasan yang ekstensif.
Di antaranya kerangka diringkaskan bagi memudahkan penanggalan dan pemasangan semula subkerangka hadapan dan belakang yang cepat semasa operasi di litar.
Subkerangka belakang pula direka khas oleh Squadra Corse untuk menempatkan komponen enjin dan transmisi baharu.
Untuk perlindungan, rangka keselamatan yang mematuhi piawaian keselamatan FIA GT3 telah disepadukan pada bahagian tengah kerangka aluminium.
Untuk badan kereta, Lamborghini buat pertama kalinya menggunakan bahan komposit karbon bagi mengurangkan berat.
Hasil kerjasama antara pasukan aerodinamik Squadra Corse dan Lamborghini Centro Stile, badan kereta kekal dengan gaya khas Temerario sambil disesuaikan untuk sistem penyejukan enjin dan brek, serta mencapai sasaran prestasi daya mendap dan seretan yang optimum.
- Penanggalan Pantas: Badan kereta direka untuk penanggalan dan pemasangan semula yang cepat semasa hujung minggu perlumbaan.
- Satu komponen: Bahagian hadapan dan belakang badan kereta dibina dari kepingan tunggal.
- Akses Mudah: Peresap belakang, penutup enjin, bonet, dan lampu hadapan semuanya direka untuk penanggalan pantas dengan sistem penyambung cepat.
- Lantai Modular: Lantai kereta terdiri daripada empat bahagian berasingan, termasuk dua bahagian di hadapan gandar hadapan, satu di tengah kereta, dan peresap belakang yang besar. Bahagian tengah boleh ditukar walaupun kereta berada di atas jek udara di laluan pit.
Sistem pengisian bahan api juga dipertingkat untuk kadar aliran lebih tinggi, dan reka bentuk tangki membolehkan penggunaan sensor bahan api baharu yang lebih tepat.
Aspek aerodinamik telah dioptimumkan untuk kestabilan yang lebih baik semasa brek dan mengurangkan perubahan keseimbangan semasa membelok.
Pengurusan suhu juga menjadi keutamaan, dengan aliran udara ke radiator dan reka bentuk radiator hadapan yang dipertingkatkan.
Roda dan Suspensi
Kereta ini juga berbeza dengan jarak roda lebih panjang serta trek lebih lebar di hadapan dan belakang berbanding model sebelum ini untuk meningkatkan kestabilan di selekoh.
Buat pertama kali, suspensi yang digunakan jenis peredam enam hala baharu dari KW.
Sudut cagak suspensi tidak lagi memerlukan sisipan karbon dalam casis, tetapi sebaliknya menggunakan plat pemasangan.
Suspensi baharu ini juga boleh ditukar dengan cepat di pit, menjimatkan masa latihan.
Tayar dipasang pada roda 18 inci dari Ronal AG.
Sistem stereng hidraulik tersuai direka untuk geometri suspensi yang optimum dan memaksimumkan prestasi, memastikan kereta ini kekal kompetitif di pelbagai kejohanan di seluruh dunia.
Ruang Dalaman
Reka bentuk untuk pengalaman pemandu dibangunkan dengan sokongan pemandu kilang Lamborghini, Marco Mapelli dan Andrea Caldarelli.
Pandangan mereka sangat penting dalam memperhalusi ergonomik (kesesuaian fizikal), susun atur kawalan, dan kebolehgunaan semasa pemanduan berprestasi tinggi.
Di dalam kokpit, sistem elektronik telah dikemas kini untuk meningkatkan pengalaman pemandu.
Integrasi perkakasan canggih membolehkan pembangunan perisian khusus, yang disesuaikan secara langsung oleh Lamborghini bagi memastikan kawalan kenderaan yang optimum.
Tombol suis di kokpit adalah baharu, menampilkan grafik yang dikemas kini dan pengelog data yang lebih lengkap.
Stereng juga direka oleh Lamborghini berdasarkan spesifikasi khas, menggabungkan maklum balas dari pemandu rasmi dan pelanggan.
Pelancaran
Lamborghini Temerario GT3 dibangunkan untuk menjadi sangat kompetitif dengan semua jenama tayar dan peraturan GT3.
Fasa pembangunan kereta ini akan berakhir pada musim 2026.
Temerario GT3 akan membuat penampilan sulung dalam beberapa acara terpilih, dengan perlumbaan pertama yang dirancang adalah di Sebring 12 Hours pada bulan Mac.
Dalam fasa peralihan ini, Lamborghini akan terus memberikan sokongan teknikal kepada semua pasukan pelanggan yang masih menggunakan Huracán pada musim depan.