
Kementerian Kerja Raya (KKR) merekodkan kerugian berjumlah RM94.17 juta akibat banjir pada 2024 melibatkan kerosakan infrastruktur terutama jalan, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata kebanyakan infrastruktur yang rosak akibat banjir tahun lalu telah dibaiki termasuk di Terengganu dengan peruntukan RM22.13 juta, Kelantan (RM20.38 juta) dan Perak (RM33.4 juta).
“Maknanya kerajaan sentiasa prihatin terhadap infrastruktur yang terkesan akibat banjir tahun lepas dengan mana-mana yang perlu diperbaiki kita telah perbaiki,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata KKR juga telah bersiap siaga menghadapi Monsul Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda hujung tahun ini.
Beliau berkata antaranya mempersiapkan Bilik Gerakan Bencana yang akan menerima maklumat dan memberi respons terhadap segala aduan mengenai kerosakan infrastruktur akibat banjir.
“Bilik gerakan ini memang kita buka sepanjang tahun tetapi apabila MTL, kita rancakkan aktiviti di situ. Kita akan pantau semua kawasan di negara ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Hanafiah Mat berkata hampir 90 peratus jalan di Terengganu yang rosak akibat banjir tahun lalu telah dibaiki oleh Kerajaan Persekutuan melalui KKR.
“Hanya tinggal lagi satu jalan iaitu cerun jalan di Bukit Besi (Dungun) yang belum dibaiki. Difahamkan tender akan dikeluarkan dua bulan lagi, yang lain semua sudah cantik,” katanya.
ARTIKEL LAIN
#TahukahAnda: Jalan berlubang nak cari siapa?, ini pemilik lapan jalan di Malaysia