
Projek jambatan baharu Marang di laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Marang dijangka siap Januari 2027.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bermula pada 9 Disember 2021 dan mencapai kemajuan fizikal 54.7 peratus setakat hujung bulan Jun.
“Projek ini telah dua kali melalui lanjutan masa (EOT), difahamkan kerana ada isu pengambilan tanah dan ia telah diselesaikan.
“Kontraktor dan pegawai telah memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi EOT,” katanya.
Nanta berkata projek jambatan baharu dengan kos kontrak RM338 juta itu melibatkan jajaran sepanjang 2.5km merangkumi pembinaan jambatan merentasi Sungai Marang sepanjang 220 meter dan jejambat merentasi bandar Marang sepanjang 680 meter serta menaik taraf jalan sedia ada sejauh 1.5km.
Beliau berkata jambatan yang mempunyai empat lorong dua hala itu dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan di jambatan sedia ada terutama pada musim perayaan.
“Projek jambatan baharu ini sangat penting untuk menggantikan jambatan lama yang dibina pada 1950-an. Jambatan lama itu bukan sahaja sempit tetapi rendah dan menyukarkan laluan bot nelayan,” katanya.
Apabila siap, jambatan itu akan memberi manfaat besar kepada rakyat terutama penduduk setempat yang akan dapat menikmati jalan yang lebih selesa serta menyuraikan masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dan perayaan, selain menjimatkan masa.
Nanta berkata pembinaan jambatan itu juga direka bentuk bagi membolehkan bot nelayan Zon C menyusuri ke hulu dan tidak lagi tersekat oleh ketinggian jambatan sedia ada.
“Dengan pembinaan jambatan baharu ini pastinya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor perikanan dan logistik maritim bagi daerah Marang,” katanya.
Untuk rekod, projek jambatan baru itu antara yang disenaraikan dalam program penggantian jambatan dan menjadi keutamaan untuk dilaksanakan seperti yang dimohon Kerajaan Terengganu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) susulan pertambahan trafik.